Saturday, December 3, 2011

SYOR 8 PSC: KETELUSAN PROSES MENGUNDI

8.1 Jawatankuasa mengambil maklum usaha-usaha berterusan yang dilaksanakan oleh SPR dalam mempertingkatkan ketelusan proses mengundi.

8.2 Jawatankuasa seterusnya mengesyorkan supaya SPR meneliti usaha-usaha bagi meningkatkan ketelusan iaitu:

8.2.1 Nombor Siri Kertas Undi

8.2.1.1 Jawatankuasa mengambil maklum nombor siri kertas undi diadakan untuk tujuan rekod dan semakan sekiranya berlaku
lebihan kertas undi selepas proses pengundian dilaksanakan.

8.2.1.2 Jawatankuasa mengambil maklum adanya kebimbangan bahawa dengan wujudnya nombor siri di atas kertas undi tidak dapat
mengekalkan kerahsiaan undi.

8.2.1.3 Jawatankuasa mengesyorkan supaya nombor siri pada kertas undi ditiadakan dan hanya dikekalkan nombor siri pada keratan kertas undi (counterfoil) sahaja.

8.2.2 Mengenal Pasti Pengundi Yang Hadir

8.2.2.1 Jawatankuasa mengambil maklum terdapatnya keraguan daripada ejen-ejen tempat mengundi bahawa susun atur yang sedia ada tidak membolehkan mereka mengenal pasti dengan lebih jelas pengundi yang hadir.

8.2.2.2 Jawatankuasa mengesyorkan susun atur dalam tempat mengundi (saluran) disusun semula bagi membolehkan ejen tempat mengundi mengenal pasti dengan lebih jelas pengundi yang hadir untuk mengundi.

8.2.3 Membenarkan Mereka Yang Dipercayai Oleh OKU Membantu Menandakan Kertas Undi

8.2.3.1 Jawatankuasa mengambil maklum bahawa undang-undang yang sedia ada, khususnya subperaturan 19(7) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 hanya membenarkan saudara terdekat sahaja iaitu bapa, ibu, abang atau adik lelaki, kakak atau adik perempuan, isteri, suami, anak lelaki atau anak perempuan. yang dapat membantu pengundi OKU menandakan kertas undi.

8.2.3.2 Jawatankuasa mengesyorkan supaya orang yang dibawa oleh pengundi yang tidak berdaya oleh sebab buta atau kecacatan fizikal lain untuk membantu menandakan kertas undi bagi pihaknya dengan syarat orang yang dibawa itu adalah warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.

8.2.4 Proses Ulang Kira Kertas Undi

8.2.4.1 Jawatankuasa mengambil maklum bahawa undang-undang yang sedia ada, khususnya subperaturan 25(13) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang memperuntukkan jika perbezaan antara bilangan undian oleh pemilih yang terbanyak dengan bilangan undian kedua terbanyak adalah 4% atau kurang daripada jumlah bilangan undi, maka atas permintaan mana-mana calon atau ejen pilihan raya atau ejen mengiranya suatu pengiraan semula hendaklah dibuat sekali sahaja di tempat mengundi (saluran). Proses mengira undi dibuat di saluran dijalankan bagi mengelakkan kiraan undi yang melibatkan keseluruhan tempat mengundi yang tidak terlibat
dengan apa-apa permohonan untuk pengiraan semula.

8.2.4.2 Jawatankuasa mengambil maklum bahawa tiada peruntukan undang-undang sedia ada yang memperuntukkan ulang kira dijalankan di pusat penjumlahan rasmi undi walau apapun perbezaan peratusannya.

8.2.4.3 Jawatankuasa mengesyorkan jika terdapat perbezaan antara bilangan undian oleh pemilih yang terbanyak dengan bilangan undian kedua terbanyak adalah 2% atau kurang di pusat penjumlahan rasmi undi, ulang kira hendaklah dibuat jika ada permohonan.

8.2.5 Penandaan Kertas Undi Yang Seragam

8.2.5.1 Jawatankuasa mengambil maklum tiada penandaan secarakhusus bagi seseorang pengundi untuk menanda dalam kertas undi.

8.2.5.2 Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR hanya menerima penandaan tanda “X” di sebelah kanan kertas undi bersetentangan dengan nama calon yang diundinya sebagai undi yang sah.

No comments: