Monday, April 9, 2012

PENGGANTIAN SEKSYEN 15 AUKU YANG DI CADANGAN OLEH KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Berikut adalah cadangan pindaan Seksyen 15 AUKU 1971 yang telah di bentangkan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi, pindaan ini akan membenarkan pelajar berpolitik di luar kampus sama ada bersekutu dengan atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan, persatuan, atau organisasi sama ada di dalam atau luar negara.

Sekiranya ada cadangan serta pendapat, sila kemukakan kepada saya melalui email saya: kamalanathanp@gmail.com


PENGGANTIAN SEKSYEN 15

Akta ibu dipinda dengan menggantikan seksyen 15 dengan seksyen yang berikut:

"Aktiviti pelajar atau persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar

15.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, termasuk mana-mana parti politik.

(2) Seseorang pelajar Universiti tidak boleh -

(a) menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu;

(c) bertanding dalam pilihan raya bagi atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar di dalam Kampus jika pelajar itu memegang apa-apa jawatan dalam suatu parti politik; atau

(d) terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam Kampus.

(3) Seseorang pelajar Universiti dan mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, tidak boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap -

(a) mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(b) mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

(4) Walau apa pun subseksyen (3), seseorang pelajar Universiti tidak boleh dihalang daripada -

(a) membuat pernyataan mengenai sesuatu perkara akademik yang berhubungan dengan perkara yang pelajar itu terlibat dalam pengajian atau penyelidikannya; atau

(b) menyatakan pendirian mengenai perkara yang disebut dalam perenggan (a) dalam sesuatu seminar, simposium atau majlis seumpamanya yang tidak dianjurkan atau ditaja oleh mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, atau mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang di tetapkan oleh Lembaga di bawah perenggan (3)(b) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

(5) Universiti hendaklah mengawal selia aktiviti pelajar dan persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti di dalam Kampus.".

No comments: